Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 21 OKTOBER 2024 : Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 yang dianjurkan Kerajaan Pahang menerusi Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dapat menyalurkan pelbagai maklumat berhubung keperluan dan kehendak golongan muda kepada pihak kerajaan untuk diperhalusi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Pahang merupakan negeri ketiga selepas Perak dan Johor yang melaksanakan persidangan belia ini.

Jelasnya, usaha ini perlu bagi menyediakan platform dan ruang kepada belia untuk menyuarakan dan menyatakan hasrat serta keperluan mereka seiring arus pembangunan negeri agar mereka tidak ketinggalan dalam menyumbangkan idea kemajuan negeri.
“Kerajaan Negeri Pahang bukan tahu segala-galanya, jadi kita memang mengharapkan pandangan dan maklum balas daripada pihak belia dan saya harap dalam tempoh dua hari mereka bersidang ini, mereka boleh bagi pandangan yang paling ikhlas, jujur dan paling tepat mewakili kehendak belia.
“Hari ini yang sebenarnya sudah jauh berubah berbanding zaman sebelum ini, jadi saya mendengar dengan teliti setiap perbahasan mereka.

“Itu adalah salah satu tujuan kita menganjurkan Persidangan Dewan Belia ini, kerana sudah pastilah kita hendak bagi atau sediakan satu platform melalui persidangan ini kepada mereka untuk pertama menyuarakan pandangan, yang kedua memberi pendedahan kepada mereka dan matlamat akhirnya sudah pastilah kits hendak melahirkan generasi pelapis yang boleh mewakili kepimpinan yang ada pada hari ini untuk mereka memimpin negeri ini pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 yang bermula hari ini sehingga esok di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Persidangan Dewan Belia telah dikendalikan Speaker Dewan Belia, YB. Tuan Lee Chin Chen.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker Dewan Belia, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Jili dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Saharuddin Ahmad.
Pada persidangan kali ketiga ini, seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia dan lima ADUN Belia Lantikan telah berbahas membincangkan isu tanah belia yang melibatkan semua ADUN Belia yang bersidang. – PAHANGMEDIA

