Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM712,879.40 bagi menyediakan enam buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) kepada enam Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) negeri ini.
Enam buah kenderaan berupa sebuah Mitsubishi Triton dan lima buah Toyota Hilux itu disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada PAID Bandaraya Kuantan, PAID Kuantan Barat, PAID Jengka, PAID Maran, PAID Bentong dan PAID Pekan.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zin berkata pemberian kenderaan itu bagi memudahkan pihak pejabat menjalankan dakwah terutamanya di kawasan pedalaman.
“Alhamdulillah, hari ini sesi penyerahan sebanyak enam unit kenderaan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 ini. Pada tahun lepas Kerajaan Negeri telah meluluskan dua unit kenderaan dan pada tahun ini enam unit.
“InshaAllah pada tahun hadapan kita mengharapkan untuk menampung lagi beberapa pejabat agama kita yang memerlukan kenderaan 4×4 khususnya seperti pengisian dakwah kepada masyarakat di pedalaman,” katanya.
Majlis penyerahan yang diadakan di perkarangan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) itu turut dihadiri ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang.

Dato’ Haji Abdul Zaki juga dalam masa sama merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang banyak memberi sumbangan khususnya kepada JAIP.
“Memang Kerajaan Negeri tidak melupakan dari sudut kita meningkatkan syiar dan juga dakwah kita kepada masyarakat di negeri Pahang.
“InshaAllah pada tahun hadapan kita akan memohon kepada Kerajaan Negeri untuk menggantikan kenderaan yang usianya lebih 15 tahun yang mungkin sudah tidak ekonomik untuk digunakan,” ujarnya.
Sementara itu Qadhi Bandaraya Kuantan, Al-Fadhil Tuan Haji Syarifuddin Mohamad Sa’ad pula berkata, kerjasama yang telah diberikan Kerajaan Negeri memudahkan segala usaha dakwah dan hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran PAID.
“Mudah-mudahan apa yang telah diberikan Kerajaan Negeri dapat membantu memudahkan perjalanan pentadbiran di PAID dengan lancar di masa akan datang. Terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang atas sumbangan yang diberikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

