Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
TEMERLOH, 7 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk memastikan sebarang pembangunan yang ada di negeri ini adalah seimbang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat memastikan limpahan pembangunan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja.
“Sebagai contohnya di Gebeng di mana kita semua maklum ia merupakan satu kawasan industri yang pesat membangun.
“Kita mahu limpahan pembangunan ekonomi dapat dirasai di semua daerah, kalau boleh,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan industri di Temerloh, hari ini.
Lawatan kerja terbabit turut disertai ADUN lantikan, YB. Dato’ Wong Tat Chee, Penyelaras Dun Kuala Semantan, YB. Dato’ Ridzuan Hazimin dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Tuan Haji Suris Mihat.

YB. Dato’ Mohamad Nizar juga berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mengekalkan momentum sebagai negeri kedua terbaik negara dari segi penubuhan dan pembangunan justeru menyeru agar lebih banyak industri, kilang dan perniagaan dapat dibangunkan.
“Tahun lepas kita sedia maklum mengikut Jabatan Perangkaan, Negeri Pahang catat penubuhan 5.2 peratus di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Dan ini mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional sebanyak 3.6 peratus. Negeri kedua terbaik antara negeri-negeri dalam Malaysia.
“Dan kami ingin kekalkan dan momentum tersebut dan untuk kekalkan momentum tersebut perlu lebih banyak lagi industri, lebih banyak lagi kilang dibuka, dan perkhidmatan perniagaan dibangunkan agar kita dapat teruskan dengan momentum yang telah dicatatkan,” ujarnya.
Mengulas tentang lawatan kerja terbabit, YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata, lawatan terbabit turut melibatkan agensi-agensi Kerajaan Negeri khsusunya yang terlibat dengan pelaburan di negeri ini untuk meninjau kawasan industri yang ada di dalam Temerloh.
“Dan dengan adanya maklumat ataupun pembentangan dari pihak MPT dan juga pemimpin kawasan, kami di Invest Pahang akan dapat maklumat lebih terperinci dan lebih sahih untuk kita berurusan dengan mana-mana pelaburs yang mungkin berminat bertapak di daerah Temerloh,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

