Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 6 OKTOBER 2024 : Lebih 20,000 peminat permotoran membanjiri Dataran Temerloh bagi memeriahkan Karnival Permotoran Temerloh 2.0 Tahun 2024 yang merupakan siri karnival yang bermula pada tahun lalu membuktikan sukan permotoran semakin diminati.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Pahang menyokong penuh penganjuran Karnival Permotoran 2.0 kali ini apabila memperuntukkan RM200,000 bagi penganjuran kali kedua selepas mendapat sambutan baik pada tahun 2023.

“Kerajaan Negeri Pahang menyokong penuh penganjuran Karnival Permotoran ini yang dapat penyertaan yang cukup ramai daripada anak muda bukan sahaja di seluruh Negeri Pahang tetapi juga di luar Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk menyokong pelaksanaan program ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar menyokong penuh minat anak muda termasuk dalam bidang permotoran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Permotoran Temerloh 2.0 Tahun 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Dataran Temerloh.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin, Naib Pengerusi 1 MTSP, Kamil Ibrahim, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Sharuddin Ahmad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Tuan Haji Suris Mihat, Pengerusi MTSP Temerloh merangkap Pengerusi Karnival Permotoran, Mohd Azly Dato’ Indera Hj Norzan dan ketua-ketua jabatan.
YB Tuan Fadzli juga mengingatkan anak muda yang hadir ke karnival itu agar dapat berhati-hati di jalan raya dan menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain serta mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang memberikan kerjasama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pada majlis itu, lebih 172 kelab permotoran dari seluruh negara telah mengambil bahagian mengadakan pameran dan jualan kepada orang ramai.
Orang ramai juga berpeluang memenangi 50 hadiah cabutan bertuah dengan jumlah keseluruhan melebihi RM200,000 berupa sebuah kereta, empat motosikal, empat ekor lembu, aksesori motosikal, barangan elektrik, perkakasan rumah, perabot dan banyak lagi. -PAHANGMEDIA

