Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 5 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan memperluaskan lagi Skim Tanah Rakyat (STR) untuk generasi baharu Felda dengan penambahan 16 kawasan baharu.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, penambahan itu mengikut keperluan atau cadangan yang diberikan pihak pengurusan tanah rancangan masing-masing.
Katanya, kawasan baharu terbabit melibatkan setiap wilayah Felda yang ada di negeri ini iaitu Wilayah Kuantan, Mempaga, dan Jengka.
“Setiap wilayah itu nanti akan adalah tanah-tanah untuk diberikan kepada anak-anak Felda.

“Kita ada 115 tanah rancangan Felda di negeri ini dan kita jangkakan kita akan berikan sehabis yang kita mampu bergantung kepada kawasan Felda terbabit.
“Ada kawasan Felda yang mungkin tiada tanah untuk diberikan, jadi kita akan utamakan yang masih memiliki tanah terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penutup Kayuhan Berinformasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 bertempat di Felda Bukit Sagu, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, YB. Tuan Khairul Anwar Bachok, Pengarah Wilayah Felda Wilayah Kuantan, YB Dr Muhamad Saiful Hassan dan Pengarah AADK Pahang, YB. Puan Zirwatul Ahlam Zamzam.
YB. Dato’ Amizar memberitahu, sebelum ini, 18 kawasan TELAH disenaraikan dalam skim terbabit dan permohonan itu dibuka kepada generasi baharu Felda.
“Permohonan masih berjalan dan pemohon dalam proses untuk mendapatkan geran tanah melalui Felda selepas semua prosedur dipenuhi,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

