Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 04 OKTOBER 2024 : Semangat dan minat terhadap bidang robotik perlu dipupuk di kalangan pelajar sekolah rendah khususnya di kawasan luar bandar termasuklah pelajar Orang Asli bagi memastikan teknologi tersebut dapat dikuasai oleh semua pelajar tanpa mengira latarbelakang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, tindakan ini akan dapat memperluaskan lagi bakat pelajar yang berkebolehan dalam menguasai teknologi robotik seawal sekolah rendah.
“Sekiranya sekolah-sekolah dalam Negeri Pahang ini mempunyai minat yang mendalam dalam robotik, maka kita perlu sebarkan menanam minat ini kepada sekolah-sekolah lain dalam Negeri Pahang terutama sekali sekolah-sekolah di kawasan luar bandar, dan itulah hasratnya program pada hari ini untuk memberi pendedahan kepada sekolah-sekolah OA di seluruh Negeri Pahang.
“Saya lihat bidang robotik ini sebagai pintu masuk ke hati anak murid kita untuk menanam minat dalam bidang STEM, Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik dan kita tidak mahu lihat anak-anak kita ini beranggapan STEM ini payah sangat, STEM ini terlalu bosan, STEM ini hanya orang tertentu sahaja yang boleh menguasai hanya sekolah-sekolah di bandar, sebenarnya tidak sekiranya kita beri sokongan, bimbingan dan tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar luar bandar, mereka juga mampu menguasai bidang STEM,” katanya.
Beliau berucap demikian Pada Program Pahang Robostem Bengkel Asas Kokurikulum Pendidikan Robotik Bagi Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) Negeri Pahang yang berlangsung selama tiga hari di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Sungai Koyan di Lipis, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Nurul Aini Mohammad, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mustaza Mukri, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abd. Razak Abu Musa Saari, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Tuan Amin Nollah Latih, Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Puan Nor Atiqah Mat Yunus dan ketua-ketua jabatan.
Pada program Robostem itu, 18 daripada 33 sekolah di seluruh Pahang telah menguasai asas-asas robotik manakala selebihnya akan diperkemas dari segi bimbingan dan pendedahan untuk menguasai kebolehan pemasangan, programming dan coding.
Jelasnya, selain robotik para pelajar juga perlu didedahkan dengan teknologi dron di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah bagi memastikan mereka dilengkapi dengan teknologi terkini. -PAHANGMEDIA