Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 03 OKTOBER 2024 : Program Invention Innovation Creative Idea Competition (2i2C) 2024 dapat membentuk masa depan Negeri Pahang melalui bakat kreatif pelajar dan komuniti.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini bukan lagi sekadar menyediakan kemahiran teknikal tetapi juga mendidik minda berfikir secara kritis dan kreatif.
“Program pada hari adalah platform yang sangat relevan untuk memperkasa inovasi dan TVET. Melalui pertandingan ini, saya percaya para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi impak kepada komuniti.
“Penggunaan teknologi, termasuk AI, dalam rekaan dan inovasi memberikan ruang kepada peserta untuk mengasah kemahiran yang amat diperlukan dalam industri moden.

“Ini juga bertepatan dengan hasrat di peringkat negeri bagi memastikan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi dilaksanakan secara menyeluruh melalui program-program pembudayaan dirasai dan sampai peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Invention Innovation Creative Idea Competition (2i2C) 2024 di Dewan Jubli Perak Bentong.
Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Bentong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan 2I2C 2024, YBrs. Encik Mohammad Faizal Ahmad; dan Setiausaha Majlis Perbandaran Bentong, YBhg. Puan Noorul Nazreen Nordin.
Menurut beliau, agenda inovasi Negeri Pahang disokong oleh kolej komuniti di negeri ini dan dapat dilihat daripada program seperti 2i2C.
“Dengan menggalakkan peserta mengembangkan idea kreatif mereka, kolej ini menjadi pemangkin kepada lahirnya bakat-bakat muda yang berpotensi untuk mencorak masa depan negeri mahupun negara.
“Melalui kerjasama erat dengan institusi seperti Kolej Komuniti Bentong dan Majlis Perbandaran Bentong seperti program pada hari ini kita dapat memastikan bahawa modal insan di negeri ini sentiasa berdaya saing ke arah matlamat jangka panjang untuk menjadikan Pahang lebih kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Melalui program seperti ini, kita dapat melihat bagaimana kreativiti dan inovasi mereka diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian praktikal yang boleh digunakan dalam pelbagai bidang. Tidak kira siapa yang menang atau kalah, setiap penyertaan dalam pertandingan ini membawa nilai yang besar kepada perkembangan inovasi di negeri kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

