Oleh : Akmalia Allen
KUANTAN, 3 OKTOBER 2024 : Sebanyak 203 premis di sekitar kawasan industri di daerah ini yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes diperiksa dalam Operasi Bersepadu Gempur Aedes hari ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, operasi bersepadu ini dijalankan bertujuan bagi mengambil tindakan penguatkuasan undang-undang terhadap pemilik premis-premis industri yang membiakkan atau mempunyai potensi pembiakan jentik-jentik.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mempergiatkan usaha bagi menangani peningkatan kes demam denggi melalui penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
“Kompaun RM500 akan dikenakan jika terdapat tempat pembiakan nyamuk aedes di premis tersebut. Sekiranya kompaun tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan dijalankan.
“Sebanyak RM10,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan RM50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya jika pemilik premis disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turut bersama dalam Operasi Bersepadu Gempur Aedes Industri di Indera Mahkota 14 di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman. -PAHANGMEDIA

