Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
TEMERLOH, 27 SEPTEMBER 2024 : Seramai 17,000 peserta FELCRA seluruh Pahang bakal menerima Dividen Interim 2 FELCRA Pahang membabitkan 74 projek dengan jumlah keseluhan RM49.8 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan perkara itu selepas menyampaikan Suratan Hak Milik kepada 672 peserta FELCRA Kerdau dan 1,128 hak milik merangkumi 14 Skim Tanah Rakyat (STR) bagi Daerah Temerloh.
“Saya mengambil kesempatan juga untuk mengumumkan dividen interim kali kedua untuk FELCRA di Pahang yang berjumlah hampir RM50 juta dengan seramai 17,000 orang peserta lebih kurang seorang dapat dalam RM2,500,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan suratan hak milik pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah FELCRA Kerdau Dan Skim Tanah Rakyat (STR) Daerah Temerloh yang diadakan di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap di Temerloh, hari ini.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan penyelaras-penyelaras DUN.
Daripada jumlah RM49.8 juta itu, peserta FELCRA Kerdau akan menerima RM1.6 juta dividen interim 2 membabitkan seramai 672 orang peserta.
Pada majlis sama, seramai 1,465 penerima telah mendapat suratan hak milik Tanah FELCRA Kerdau dan Skim Tanah Rakyat (STR) Daerah Temerloh yang telah disampaikan sendiri oleh .
Penerima terdiri daripada peneroka FELCRA Kerdau 1, 2 dan 3 serta 14 Skim Tanah Rakyat (STR) di Daerah Temerloh antaranya Sungai Jentar 2 (178 penerima), Kampung Sok Mek Fasa 2 Bolok (160), Sungai Jenalik (113), Kampung Paya Sok (101) dan Kampung Orang Asli Paya Sendayan (100).
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Pahang mensasarkan jumlah hakmilik tanah dapat ditingkatkan kepada 1 juta hakmilik dengan lebih 800,000 telah mendapat hakmilik masing-masing.
“Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan pemberian hakmilik 1 juta menjelang tiga, empat tahun akan datang, sekarang sudah ada lebih 800,000 hakmilik membabitkan semua hakmilik sama ada FELDA atau FELCRA di Pahang, siapa yang ada geran kita kira dalam kategori itulah,” katanya.-PAHANGMEDIA

