Oleh: Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 27 SEPTERMBER 2024 : Pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa merupakan bukti Kerajaan Negeri peka dengan keperluan anak-anak Pahang yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, ini kerana mereka merupakan tunjang kejayaan kepada Negeri Pahang suatu hari nanti.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang justeru itu telah memperuntukkan sebanyak RM14.18 juta bagi pelaksaan program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 Kluster Siswa pada tahun ini.
“Kerajaan Negeri Pahang juga telah memperuntukkan sebanyak RM14.18 juta bagi pelaksaan BPP Siswa tahun 2024. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM8 juta daripada tahun 2023.
“Oleh itu, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat terus menyokong Kerajaan Negeri Pahang di bawah pentadbiran YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri DiRaja Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar kita dapat terus menikmati pembangunan dan juga bantuan sepatutnya disalurkan kepada mahasiswa demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyampaian BPP Kluster Siswa kepada 492 pelajar bagi DUN Peramu Jaya, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdulllah, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Pahang amat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin yang bijak mentadbir dan mengurus kewangan Kerajaan Negeri seperti YAB Menteri Besar.
“Tahun lepas kita berjaya memperoleh hasil sebanyak RM1.3 bilion.. Tahun sebelumnya kita dapat RM1.2 bilion. Saya difahamkan kutipan hasil kerajaan negeri setakat ini sudah mencecah RM900 juta. Ertinya, InsyaAllah kita akan capai sasaran RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut.
“Dan hasil kutipan inilah yang membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan BPP ini kepada semua mahasiswa termasuk 492 mahasiswa yang ada pada hari ini.
“Cuba banyangkan kalau kerajaan negeri kita tak mampu menguruskan kewangan dengan baik, tidak mungkin saya dapat berdiri di sini pada pagi ini untuk menyampaikan sumbangan hari ini,” ujarnya lagi.
Beliau justeru itu mengingatkan kepada mahasiswa negeri Pahang agar menjadi seorang siswazah yang dapat memberi sumbangan kepada negara dan juga negeri Pahang khususnya.
“Ilmu yang dimiliki bukanlah untk dimegah-megah malah sebaliknya hendaklah digunakan untuk berbakti keada ibu bapa dan negara, insyaAllah. Saya juga doakan agar semua anak dapat CGPA (Himpunan Purata Nilaian Mata) yang tinggi.. 3.5 ke atas,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

