Oleh: Norhafizan Zulkifi
Foto: Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 25 SEPTEMBER 2024: Seramai 18 perantis pengambilan pertama program di bawah Projek Rintis Plantation Technician (Harvesting Specialist) telah berjaya menamatkan latihan sekali gus menerima sijil tamat latihan mereka, hari ini.
Projek Rintis Plantation Technician (Harvesting Specialist) merupakan program tiga penjuru dengan kerjasama YP Advanced Skills, Institut Perladangan dan Komuditi Malaysia (IMPAC) dan FGV Holdings berhad.
Pengurus Besar YP Advanced Skills, Puan Hajjah Nor Liza Abd Mubin berkata, projek terbabit telah dilaksanakan selama tiga bulan sekali gus pihaknya merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada semua peserta yang terpilih.
“Seramai 18 perantis telah berjaya dipilih untuk mengikuti latihan ini dan menerima sijil tamat latihan bagi pengambilan pertama bagi tahn 2024.
“18 perantis ini dipilih dari 70 permohonan yang diterima. Kita temuduga, saring dan sebagainya bersama rakan industri dan akhirnya mereka yang terpilih berjaya menamatkan program ini.
“Terima kasih kepada IMPAC yang telah menyalurkan dana untuk menjayakan projek ini dan juga kepada rakan industri kami, FGV, yang juga sama-sama membantu pelatih kami dalam mendapatkan pengalaman dan latihan yang sepatutnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Majlis Graduasi Harvester Specialist anjuran YP Advanced Skills bertempat di Akademi Latihan FGV (ALAF) di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan FGV, Encik Razman Radzi dan Ketua Eksekutif IMPAC, Puan Nazatul Niza Nordin.
Sementara itu Nor Liza memberitahu YP Advanced Skill telah memulakan program seumpama ini sejak Ogos 2020 di mana seramai 500 harvester specialist telah berjaya dilatih dan telah ditempatkan di beberapa industri.
”Dan dalam tempoh tersebut, sebahagian mereka masih terus kekal berada dalam industri yang sama dan sebahagiannya telah dilantik menjadi penyelia ladang dengan pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Itu satu pencapaian yang baik kerana berdasarkan latarbelakang mereka yang terpilih ini dengan ada antaranya hanya memiliki sijil SPM dan tidak mempunyai latarbelakang dalam bidang ini namun mampu mencapai satu tahap pendapatan yang boleh dikira tinggi,” katanya lagi.
Difahamkan 18 perantis yang mengikuti program terbabit terdiri dari bukan sahaja dari Pahang malah juga dari Terengganu, Kelantan, Perak dan Sabah. -PAHANGMEDIA