Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 24 SEPTEMBER 2024 : Atlet para SUKMA Sarawak bagi acara Lawn Bowls begitu teruja dan gembira apabila tidak menjangka dapat menyumbang pingat emas buat kontinjen Pahang.
Bagi Wan Hajar Adilah Wan Mohamud, 19, pengalaman pertamanya beraksi di Para SUKMA memberikan kejutan apabila dia mampu mengharumkan nama Pahang menerusi sukan itu.
“Bangga, suka, seronok dan saya tidak menjangka akan mendapat emas, berdebar tetapi tidak sangka rezeki. Saya ingin memberikan emas untuk Negeri Pahang dan diri saya sendiri, apa yang saya harapkan tercapai matlamat yang saya hendak, jika ada rezeki mestilah saya hendak mewakili Negara Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhamad Alkudus Abdul Manah, 37, ini merupakan kali kedua beraksi pada Para SUKMA namun sebelum ini pernah menyumbang pingat gangsa sekaligus tidak menjangka dapat menghadiahkan emas buat Pahang pada Para SUKMA kali ini.
“Saya gembira bersyukur sebabnya kali pertama dapat emas lagi satu saya baru dua tahun main (lawn bowls), saya tidak menjangka mendapat emas dan rasa syukur serta gembira, saya harap dapat menyumbangkan lagi medal pada petang ini,” katanya.
Kedua-dua mereka beraksi dalam dua kategori iaitu Pasangan Campuran dan Individu dan berharap dapat menyumbang lebih banyak pingat emas kepada kontinjen.
Sehingga 24 September, acara Lawn Bowls telah berjaya menyumbang sebanyak tiga pingat emas kepada Pahang.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini, Kontinjen Pahang telah menghantar seramai 62 atlet yang akan berentap dalam sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan bermula 22 hingga 28 September 2024.-PAHANGMEDIA