Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 23 SEPTEMBER 2024 : Emas pertama yang disumbangkan menerusi acara olahraga bagi lempar cakera oleh atlet Muhammad Zulhaziq Mohd Sallehin berjaya menyemarakkan semangat juang atlet Para SUKMA Pahang untuk terus berusaha meraih emas bagi Kontinjen Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau sangat bersyukur dan berharap lebih banyak acara yang akan menyumbang pingat kepada Kontinjen Pahang.
“Saya ucapkan syukur kepada Allah SWT atas kejayaan Zulhaziq memperolehi pingat emas pertama untuk Kontinjen Pahang bagi Para SUKMA ini, beliau bertanding bagi acara lempar cakera, satu pencapaian yang baik, dulu (pingat) perak pada Para SUKMA yang lalu dan kali ini berjaya menggondol emas.
“Satu kebanggaan kepada Negeri Pahang dan pencetus semangat kepada atlet-atlet yang lain saya difahamkan selepas beliau merangkul pingat emas pertama untuk Para SUKMA ini, ada lagi pingat emas lain, jadi berjaya mencetus kebangkitan semangat atlet-atlet dan kontinjen Pahang dan saya difahamkan beliau akan ada lagi acara pada esok hari khususnya lontar peluru dan kita doakan kejayaan beliau, jadi tahniah kepada pasukan olahraga Para SUKMA Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang lempar cakera yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petrajaya di Kuching, petang tadi.
Selain Muhammad Zulhaziq, atlet memanah, Loh Chi Hui turut menyumbang emas bagi kategori Recurve Woman Single 70m selain berjaya memecahkan rekod SUKMA dan rekod kebangsaan iaitu Single 70m, Keseluruhan 70m, Double Team 70m bersama Nurfatin Afifah dan Mix Team 70m bersama Ahmad Jaffri.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini, Kontinjen Pahang telah menghantar seramai 62 atlet yang akan berentap dalam sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan bermula 22 hingga 28 September 2024. -PAHANGMEDIA