Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 23 SEPTEMBER 2024 : Acara memanah dan olahraga menerusi lempar cakera berjaya menyumbangkan pingat emas buat kontinjen Pahang pada hari kedua temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 berlangsung.
Atlet memanah, Loh Chi Hui, 34, bukan sahaja berjaya menyumbangkan emas pertama pada temasya ini malah turut memecahkan empat rekod SUKMA dan Kebangsaan menerusi kategori Memanah Recurve Woman Single 70m.
Empat rekod baru dipecahkan oleh Loh Chi Hui ialah Single 70m, Keseluruhan 70m, Double Team 70m bersama Nurfatin Afifah dan Mix Team 70m bersama Ahmad Jaffri.
Dia begitu gembira dan tidak menjangka dapat memecahkan rekod baru bagi SUKMA dan Kebangsaan namun tidak menafikan kekuatan psikologi adalah paling utama ketika berada di lapangan.
“Saya sangat gembira dan tidak menjangkakan (kemenangan) kerana ada ramai lagi pemanah yang hebat. Saya datang sini ‘shoot’ je jangan fikir lebih, psikologi,” katanya.
Loh Chi Hui yang telah menyertai Para SUKMA sebanyak tiga kali pernah menyumbang pingat perak pada Para SUKMA 2018 dan tiga pingat emas pada Para SUKMA 2022.
Sementara itu, atlet olahraga, Muhammad Zulhaziq Mohd Sallehin, 31, pula berasa sangat terharu apabila berjaya menyumbang emas pertama buatnya selepas pingat perak pada Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.
“Saya rasa terharu dan bersyukur dapat sumbangkan pingat emas pertama untuk Pahang edisi Para SUKMA kali ini. Selepas usaha dan latihan yang dibuat inilah medan untuk kita buktikanlah apa yang telah dilatih sebelum ini,” katanya.
Selain lempar cakera, Muhammad Zulhaziq menyertai dua lagi acara sukan iaitu rejam lembing dan lontar peluru.
Kedua-dua acara sukan masing-masing telah diadakan di Lapang Sasar Memanah Petrajaya dan Stadium Sarawak di Kuching.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini, Kontinjen Pahang telah menghantar seramai 62 atlet yang akan berentap dalam sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan bermula 22 hingga 28 September 2024. -PAHANGMEDIA