Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
PUTRAJAYA, 20 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui PahangGo telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) bersama Syarikat Finexus Sdn. Bhd. bagi menjalankan aplikasi eWallet PahangGo.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Pengerusi PahangGo yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Datoβ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Ybhg. Encik Affendi Mohd Isa yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang.

Manakala Syarikat Finexus Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengarah Pembangunan dan Penyelidikannya, Encik Joel Choo dan disaksikan oleh Pengarah Pemperolehan Perniagaan, Encik Yong Sin Yoon.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Datoβ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Datoβ Sri Saiful Edris Zainuddin pada Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2024 di Hotel The Everly.
Menerusi MoA ini aplikasi PahangGo yang telah dilancarkan pada 23 Oktober 2019 akan memperkenalkan eWallet dalam aplikasi ini yang menggunakan pendekatan White Label eWallet.
Aplikasi eWallet yang akan mula beroperasi pada Julai 2025 dapat memberi manfaat signifikan kepada rakyat Pahang termasuk sokongan pembayaran DuitNow QR di restoran, kedai runcit dan pusatmembeli-belah, saluran bantuan kerajaan yang lebih mudah diakses, program mata ganjaran yang memberikan nilai tambah kepada pengguna aktif, serta pelbagai kemudahan pengurusan kewangan seperti pembiayaan mikro dan perlindungan takaful kepada lebih 500,000 pengguna berdaftarnya. -PAHANGMEDIA

