Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
PUTRAJAYA, 20 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui PKPP Agro Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia bagi program SMART Sawah Berskala Besar, (SMART SBB).
Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.
Manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Kawalan Selia Padi dan Beras Negara, Seksyen Kawal Selia Padi Beras, Bahagian Pembangunan Industri Padi, YBhg. Datuk Azman Mahmood.

Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Pegawai Pelaburan Negeri Pahang yang juga Pengarah Eksekutif Koridor Utiliti Pahang (KUP), YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad di Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2024 di Hotel The Everly.
Program SMART SBB ini merupakan program pengurusan tanah sawah yang sistematik diuruskan melalui usahasama strategik Kerajaan dan pihak swasta iaitu Syarikat Peneraju.
Ia mampu mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai dan bagi tempoh jangka panjang, program ini penting bagi menangani isu ancaman terhadap kemampanan sara diri negara terhadap beras.
Program ini dijangka akan membantu negara untuk mencapai sasaran SSR beras yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sebanyak 75 peratus. -PAHANGMEDIA

