Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 17 SEPTEMBER 2024 : Rakyat Pahang diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab untuk mempertahankan institusi Diraja Pahang daripada dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang merupakan wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, ini kerana institusi diraja merupakan payung pelindung serta lambang penyatuan dan perpaduan kita.
“Sejarah telah membuktikan bagaimana Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 telah berjaya menyelesaikan kemelut politik daripada terus berpanjangan selepas PRU15, dengan menitahkan agar kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
“Begitu juga dengan posting-posting yang menyentuh isu-isu negatif mengenai agama dan kaum, saya minta pastikan kesahihan posting berkenaan terlebih dahulu atau abaikan terus posting berkenaan bagi memelihara kesejahteraan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan perasmian mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat bagi meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat.
“Ini kerana kekuatan kita terletak pada semangat perpaduan dan penyatuan yang menjadi asas kejayaan kita dalam menghadapi pelbagai cabaran terutamanya cabaran pada masa kini.
“Menyentuh mengenai cabaran pada masa kini, saya ingin ingatkan hadirin sekalian tentang bahayanya jika kita mencetuskan sentiman dan persepsi negatif yang boleh merosakkan keharmonian yang telah kita bina sejak sekian lama.
“Berwaspadalah dalam mengendali media sosial masing-masing, terutama yang menyentuh mengenai isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Tambah beliau lagi, sambutan Hari Malaysia ditujukan khusus untuk golongan muda yang merupakan pewaris negara sebagai persediaan menyematkan semangat cintakan negara, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari minda dan jiwa.
Seramai hampir 3,000 pengunjung menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Negeri Pahang yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA