Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Pelantikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bukan sekadar memikul amanah malahan turut menggalas tanggungjawab yang besar dalam membawa harapan kepada rakyat.
ADUN Lantikan, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah berkata, pelantikan ini harus dilaksanakan sebaik mungkin dengan mendekati rakyat secara menyeluruh membawa amanah kerajaan untuk disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat.

“Dengan pelantikan ini YAB Menteri Besar Pahang berharap agar nasib rakyat kita lebih terbela bukan maksud tidak terbela tetapi mahu lebih terbela supaya dapat turun lagi kepada rakyat, bukan satu jawatan untuk kita banggakan tetapi ini satu amanah dan tanggungjawab yang sangat besar, semuanya untuk rakyat, rakyat adalah nombor satu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ADUN Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, amanah yang diberikan kepadanya bersama empat lagi ADUN Lantikan yang lain merupakan kepercayaan oleh barisan kepimpinan kerajaan untuk membawa pengukuhan dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya nak ucapkan terima kasih dan penghargaan saya kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar Pahang dan seluruh Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan kepercayaan kepada saya dan rakan-rakan sebagai ADUN Lantikan dan saya percaya bahawa lantikan ini adalah satu lantikan bagi memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Dan antara tugas yang diberikan kepada kami sebagai ADUN Lantikan adalah untuk bukan sahaja menjadi penguat kepada kerajaan di dalam dewan tetapi juga memberikan buah fikiran, pandangan yang dapat membina Kerajaan Negeri dan saya percaya bahawa pelantikan ini adalah merupakan satu kesinambungan kepada usul yang telah diluluskan,” katanya.
Kelima-lima ADUN Lantikan termasuklah tiga lagi iaitu YB Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, YB Dato’ Wong Tat Chee dan YB Tuan Rizal Jamin telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pagi tadi pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Pada November 2020, Dewan Undangan Negeri Pahang telah meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihanraya.-PAHANGMEDIA

