Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menempelak Harakahdaily mengeluarkan kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, YB. Tuan Rosli Abdul Jabar yang dilihat mempertikaikan usaha Kerajaan Negeri Pahang selama ini dalam mengukuhkan syiar Islam di negeri ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kenyataan itu dikeluarkan menerusi satu program di Chegar Medang, Bentong pada 31 Ogos lalu dan disiarkan dalam portal parti politik berkenaan pada keesokan harinya.
“Tetapi, bagi saya laporan berita tersebut merupakan satu kenyataan yang riak dan sombong serta cuba membangkitkan sentimen dan persepsi negatif seolah-olah Kerajaan Negeri tidak melakukan apa-apa pembangunan langsung untuk mengukuhkan syiar Islam di Pahang.
“Laporan berita itu bukan sahaja mempertikai usaha-usaha yang telah Kerajaan Negeri lakasanakan selama ini, tetapi juga dilihat turut mempertikai kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam negeri ini di mana telah banyak usaha, cadangan, nasihat dan juga saranan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyubur syiar Islam di bumi Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Pada 1 September lalu, sebuah portal parti politik telah menyiarkan artikel bertajuk ‘Agenda Islam di Pahang, hanya PAS boleh diharap’ dengan memetik ucapan YB. Tuan Rosli.
Beliau turut mengingatkan walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam berpolitik, tetapi dalam soal agama perlu berpada-pada terutamanya ketika berbicara.
“Wadah perjuangan kita mungkin berbeza. Ijjtihad memenangkan agenda Islam kita mungkin berbeza, tetapi matlamat kita tetap sama. Namun, jangan hanya kerana mahu membaja benih kebencian di kalangan rakyat dan mencari laba politik, ada yang menjadi buta rasa dan tuli deria,” katanya.
Sebelum itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memaklumkan banyak usaha telah dilaksanakan Kerajaan Pahang antaranya, menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, sehingga ia menjadi institusi pendidikan terbaik di negara ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Tambahnya, Tadika Tahfiz Negeri Pahang juga diwujudkan pada 2018 dan kini ia berkembang kepada 25 cawangan dengan modul pendidikan tadika tahfiz ini telah digunapakai oleh 4,000 Tadika KEMAS di seluruh negara.
Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Program Tahfiz Mahir bagi melatih pelajar-pelajar tahfiz dengan ilmu kemahiran serta jaminan kerjaya apabila tamat latihan.
Malah, kerajaan juga menubuhkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang yang diuruskan sendiri oleh Kerajaan Negeri.-PAHANGMEDIA

