Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Sebanyak 3,340 unit rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan Skim Tanah Rakyat Felda (STRF) dirancang di bina di atas 29 tapak di negeri ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata ia melibatkan 1,154 unit telah siap sepenuhnya setakat ini.
“STRF dibangunkan secara berfasa di mana 3,340 unit rumah PGBF di rancang dan di bina di atas 29 tapak melibatkan 1,154 unit telah siap sepenuhnya manakala baki 346 unit diurus FELDA dan 1,850 unit diurus oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) yang masih dalam pembinaan.
“Kerajaan Negeri dengan kerjasama FELDA juga turut mengambil inisiatif tambahan untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat FELDA (STRF) di 18 Rancangan FELDA terpilih untuk fasa awal ini yang melibatkan 2,110 unit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri dan FELDA bercadang meneruskan usaha ini untuk fasa seterusnya ke rancangan-rancangan FELDA yang lain.
Menjawab soalan status semasa bagi kawasan Felda Jenderak Selatan, tapak seluas 44 hektar telah dikenalpasti bagi tujuan ini.
“Status semasa STRFP bagi kawasan FELDA Jenderak Selatan, di mana tapak seluas 18 ekar telah dikenalpasti dan sedang dalam peringkat permohonan serta kelulusan Ibu Pejabat FELDA.
“Manakala bagi kawasan FELDA Jenderak Utara, tiada kawasan tapak yang sesuai. Rancangan sedang membantu mengenalpasti kawasan lain yang sesuai untuk dijadikan tapak STRF,” katanya.-PAHANGMEDIA

