Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2024 : Pahang merekodkan sebanyak 5,941 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM114.6 juta dalam tempoh 2021 hingga Mei lalu.
Daripada jumlah tersebut, Kuantan mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 2,470 kes membabitkan kerugian sebanyak RM51.8 juta diikuti Bentong dengan kerugian sebanyak RM17.8 juta, Temerloh sebanyak RM12.8 juta, Raub sebanyak RM7.2 juta dan Cameron Highlands sebanyak RM5.2 juta.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, bagi mengatasi masalah terbabit, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang telah mengadakan Pameran Pencegahan kepada semua agensi sama ada kerajaan atau pun swasta.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa bekerjasama dengan agensi luar untuk memberikan ceramah berkaitan penipuan jenayah siber.
“Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 12 pameran dan 86 ceramah pencegahan diadakan di seluruh Pahang.
“PDRM Pahang juga mengunakan platform media sosial untuk memberikan maklumat pencegahan jenayah siber dan modus operandi terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB. Tuan Rosli Abdul Jabar berkaitan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan terbabit, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, terdapat kesukaran untuk mengesan penjenayah namun menegaskan pihak polis sentiasa berusaha melakukan siasatan terhadap kes yang dilaporkan.
“Biasanya selepas terima laporan polis, kita akan buat siasatan. Tetapi kebiasannya akaun yang diberikan adalah akaun yang telah disalahgunakan, jadi susah nak tangkap.
“Bagaimanapun pihak polis akan siasat dan ambil tindakan. Kita dah buat sedaya upaya… bukan senang siasat satu persatu kerana kes terlalu banyak,” katanya.-PAHANGMEDIA

