Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Perbadanan Stadium Darul Makmur sedang giat menjalankan kerja menaik taraf padang melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ia melibatkan peruntukan RM1.1 juta daripada Kerajaan Negeri Pahang, manakala bakinya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Pada tahun ini pula, Perbadanan Stadium Darul makmur sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf padang. Usaha menaik taraf padang ini melibatkan kerja-kerja penukaran rumput dari cow grass kepada Bermuda, serta penambahbaikan sistem pengairan padang dan sistem siraman (sprinkler).
“Kos menaiktaraf padang di Stadium Darul Makmur ini menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, yang melibatkan peruntukan RM1.1 juta daripada Kerajaan Negeri Pahang, manakala RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Stadium Darul Makmur memanfaatkan sepenuhnya kapasiti yang ada dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Tempur bagi kegunaan atlet seni mempertahankan diri Pahang.
“Melalui inisiatif ini, Perbadanan Stadium Darul Makmur telah mengadakan kerjasama dengan Majlis Sukan Pahang untuk menaiktaraf empat dewan di Stadium Darul Makmur bagi dijadikan Pusat Latihan Sukan Karate, Taekwando, Silat dan Judo.
“Pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur juga telah mengenal pasti satu ruang khas untuk diubahsuai menjadi bilik ekslusif atau corporate box bagi memberi perkhidmatan terbaik dan keselesaan optimum kepada mereka yang bercitarasa tinggi untuk menonton sesuatu perlawanan bola sepak atau kejohanan olahraga.
“Bilik Ekslusif ini akan dilengkapi dengan penghawa dingin, tempat duduk yang selesa, ruang makan, smart TV, serta ruang mesyuarat kecil. Penyediaan Bilik Ekslusif ini akan menjadi salah satu punca pendapatan baru kepada pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur. Malah, Perbadanan Stadium Darul Makmur juga telah menaik taraf café di Stadium bagi memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.
Tambah beliau, Stadium Darul Makmur juga bercadang mewujudkan sebuah Pusat Perniagaan Berbumbung bagi Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) yang dijangka menjadi tarikan baru di Bandar Kuantan dengan menawarkan pelbagai jenis jualan.-PAHANGMEDIA

