Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Program perkahwinan beramai-ramai atau Anggun Suri akan dilaksanakan bermula pada bulan ini sehingga Disember depan membabitkan empat parlimen iaitu Cameron Highlands, Kuantan, Bera dan Kuala Krau.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan program tersebut akan diuruskan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang (UPWS) bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Menurutnya, pelaksanaan program ini memerlukan beberapa teknik dan perancangan rapi serta telah mendapat persetujuan daripada pemimpin setempat.
“Program perkahwinan beramai-ramai memerlukan koordinasi yang teliti dan persediaan yang rapi bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat Kerajaan Negeri bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membina keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
YB. Dato’ Sabariah berkata, antara kaedah umum acara perkahwinan beramai-ramai ialah perancangan awal, persiapan logistik, susunan acara, pengurusan tetamu, sumbangan atau hadiah, komunikasi dan promosi serta pemantauan dan penilaian.-PAHANGMEDIA

