Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Murid sekolah di negeri ini tidak menunjukkan kesan secara signifikan terhadap fenomena ‘lost generation’ akibat pandemik COVID-19.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, ini dilihat daripada hasil Gred Purata Negeri (GPN) dan Layak Mendapat Sijil (LMS) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
“Peningkatan pada Gred Purata Negeri (GPN) dan Layak Mendapat Sijil (LMS) dalam peperiksaan SPM 2023 menunjukkan murid-murid di Negeri Pahang secara umumnya tidak menunjukkan secara signifikan bahawa berlakunya fenomena lost generation meskipun terdapat cabaran pandemik covid-19.
“Walaubagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang sedar bahawa data keseluruhan tidak semestinya mencerminkan keseluruhan situasi setiap individu murid.
“Oleh yang demikian, langkah proaktif sentiasa diambil bagi memastikan semua murid mendapat sokongan yang diperlukan. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang juga telah mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mencegah masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menurut beliau, secara keseluruhan, SPM 2023 telah menjadi tahun yang sangat berjaya bagi Pendidikan Pahang berbanding dengan tahun 2022 dan 2021 dengan peningkatan dalam kedua-dua indikator berkenaan.
“Pada tahun 2023, Gred Purata Negeri (GPN) mencatatkan peningkatan dengan nilai 4.36, merupakan peningkatan yang ketara berbanding 4.57 pada tahun 2022 dan 4.74 pada tahun 2021.
“Peratus Layak Mendapat Sijil (LMS) bagi tahun 2023 pula adalah sebanyak 94.85 peratus meningkat dari 93.11 peratus pada tahun 2022 dan 88.42 peratus pada tahun 2021. Ini menggambarkan peningkatan peratusan murid yang memenuhi syarat untuk mendapatkan sijil bagi Peperiksaan SPM.
“Trend ini mungkin mencerminkan keberkesanan dasar-dasar pendidikan, metodologi pengajaran yang lebih baik, atau perubahan positif lain dalam persekitaran pendidikan di Negeri Pahang yang ditunjangi oleh Kerajaan Negeri Pahang. Ini termasuklah sokongan Kerajaan negeri melalui program-program peningkatan akademik serta suntikan dana pendidikan untuk pelaksanaan program tersebut,” katanya.-PAHANGMEDIA

