Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2024 : Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan telah mengangkat sumpah pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Kesemua lima ADUN lantikan ini telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin pada Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Upacara ini dimulakan oleh YH. Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri, diikuti YH. Dato’ Wong Tat Chee, Encik Haris Salleh Hamzah, Encik Mohd Fadzli Mohd Ramly, dan Encik Rizal Jamin.
DUN Pahang sebelum ini telah bersetuju melantik lima ADUN lantikan ini setelah mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan.

Untuk rekod, pada sidang DUN Ke-14 pada November 2020 telah meluluskan usul bagi meminda Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang untuk melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya dan ia diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan.
Pindaan ini dibuat bagi membolehkan lantikan lima ADUN daripada golongan berkaliber, memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan berorientasikan rakyat bukannya politik.
Menurut pindaan tersebut, lantikan kelima-lima ADUN hendaklah atas usul tujuh ADUN serta mendapat kelulusan majoriti mudah, selain mereka boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi.
Walau bagaimanapun, ADUN dilantik itu tidak layak untuk dipilih sebagai Menteri Besar atau menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). – PAHANGMEDIA

