Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang telah melaksanakan empat strategi bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan hasil melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan strategi ini bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan hasil terutamanya melalui pendigitalan dan teknologi maklumat sekaligus dapat memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri mempunyai hala tuju yang jelas dan perancangan jangka panjang untuk kemakmuran Negeri Pahang.
“Antara strategi Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hasil serta mengurangkan ketirisan hasil melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat adalah seperti berikut.
“Pelaksanakan kutipan cukai petak bagi hak milik strata di negeri Pahang melalui Sistem e-Strata Pahang yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan kos RM1.795 juta bermula 1 Januari 2024 dan telah berjaya mengutip cukai petak sebanyak RM833,272 manakala RM1.648 juta bagi urusan pendaftaran hak milik strata.
“Kerajaan turut menambahbaik dan menaiktaraf Sistem Pentadbiran TanahNegeri Pahang sedia ada kepada Sistem Pentadbiran Tanah Berasaskan Web Negeri Pahang (SPTWeb) yang meliputi Sistem Hasil Tanah, Secure Land Management System (SELAMAT), Sistem Permohonan Kebenaran Pindah Milik/Gadaian dan Pajakan Tanah (e-Consent) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4.95 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kerajaan turut melaksanakan Sistem e-Doket bagi menggantikan doket bercetak dalam kerja-kerja mengambil, mengalih dan mengangkut bahan batuan (pasir) bagi Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit di bawah seksyen 69 dan seksyen 71 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Penggunaan sistem imej satelit dan remote-sensing juga dilaksanakan melalui sistem e-Unified, kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia bermula daripada 2019 sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang,” katanya.
Menurutnya, transformasi pendigitalan dan teknologi maklumat pentadbiran tanah adalah penting untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan pengguna di era digital ini sekaligus mencapai sasaran kutipan hasil untuk menyokong matlamat negara ke arah pembangunan yang lebih mampan dan inklusif. -PAHANGMEDIA

