Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 04 SEPTEMBER 2024 : Sumbangan kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merupakan pengisian utama bagi Ekspedisi Everest Base Camp.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ekspedisi yang saban tahun dilaksanakan adalah cerminan sifat pemurah dan penyayang yang semula jadi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.

“Tatkala rakyat melihat pelbagai rentetan kejayaan menakluki begitu banyak gunung dan puncak di dalam dan luar negara, termasuk di Vietnam, Filipina, Indonesia, Taiwan dan Nepal, sebenarnya misi-misi ini turut diiringi dengan sumbangan kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, khusus untuk golongan kurang berkemampuan serta masjid-masjid yang disinggahi sepanjang ekspedisi.
“Sumbangan kurniaan ini adalah antara pengisian utama ekspedisi ini sejak saban tahun ianya dilaksanakan. Ia membuktikan bahawa ekspedisi ini bukanlah hanya sekadar soal pendakian semata-mata, sebaliknya sarat dengan mesej dan pengisian murni.
“Sempena ekspedisi kali ini, sumbangan kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku akan disampaikan kepada Masjid Kashmiri Taqiya yang terletak kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu. Masjid ini dibina pada tahun 1524 Masihi oleh seorang ulama Islam Khasmir ketika pemerintahan Raja Rama Malla (1484-1520) dan menjadi persinggahan utama pendaki Islam dari seluruh dunia yang menawan Everest dan puncak-puncak gunung lain di Nepal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Everest Base Camp Sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Fraser’s Hall, Jalan Genting, Bukit Fraser.

Tambah beliau, pelbagai kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku telah dapat mengimarahkan masjid-masjid di pelbagai negara serta rumah anak yatim.
“Maka amat beruntunglah patik sekalian rakyat Negeri Pahang kerana sesungguhnya, pelbagai kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, sebelum ini telah diimarahkan masjid-masjid di luar negara termasuk di Hanoi, Manila, Taiwan, Indonesia dan Nepal, serta beberapa rumah anak yatim di setiap negara yang dikunjungi peserta ekspedisi.
“Sumbangan kurniaan ini adalah cerminan sifat pemurah dan penyayang yang semula jadi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, yang diwarisi turun-temurun daripada Institusi Kesultanan Negeri Pahang,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli menyerahkan bendera simbolik pelepasan Kontinjen Ekspedisi Everest Base Camp Sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Fraser’s Hall, Jalan Genting, Bukit Fraser.-PAHANGMEDIA

