Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Zaid Sahar Azmi (MSP)
KUCHING, 23 OGOS 2024 : Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi, 19, menghadiahkan emas pertama kepada Kontinjen Pahang dari sukan memanah menerusi acara Recurve Individu Lelaki, petang tadi.
Acara yang berlangsung meriah dengan sorakan daripada penyokong dan atlet Pahang itu telah diadakan di Lapang Sasar Memanah Petrajaya di Kuching, Sarawak.
Pada acara final itu, Haiqal Danish telah bertemu atlet dari Selangor dan berjaya menewaskan lawan dengan keputusan 6-2.
Ini merupakan emas ketiga Haiqal Danish menerusi sukan memanah menerusi acara berkumpulan pada SUKMA 2018 dan SUKMA 2022 manakala pingat gangsa bagi acara individu pada SUKMA 2022.
“Perasaan saya sangat gembira sebab dari awal tournament sampai habis penghujung game baru dapat nyanyi lagu Pahang dekat atas podium.
“Sebelum start game tadi saya teringat dengan kata-kata mak saya, sebelum pergi ke final, sebelum ke atas pentas berdoalah kepada Allah sebab dialah yang menolong kita memenangi pertandingan,” katanya.
Pagi tadi, Haiqal Danish bersama pasukannya, A’zat Faris Fathullah Azrul dan Muhammad Amirul Haziq Mohd Rashiddin berjaya memperoleh perak bagi acara Recurve Berpasukan Lelaki.
Dia yang menceburi sukan memanah sejak usia 10 tahun mensasarkan Sukan Sea pada tahun hadapan. – PAHANGMEDIA

