Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 17 OGOS 2024 : Atlet pasukan menembak Pahang memberi tumpuan kepada acara berkumpulan bagi pungutan pingat emas bagi acara menembak seterusnya.
Bagi atlet menembak penyumbang dua emas, Cheah Zen Hong berkata, acara berkumpulan memberi kelebihan dari segi sokongan daripada rakan-rakan atlet lain dalam menghadapi cabaran di lapangan bagi berhadapan dengan pasukan dari negeri lain.

“Fokus kami adalah untuk team event jadi kami cuba kuasai team event dan lepas dapat team event baru fokus kepada individu.
“Apa-apa yang saya buat, saya fikirkan pasukan dulu, bila saya fikirkan pasukan, saya rasa beban berkurang, ada kawan-kawan support, ada teammate support sekali,” katanya.
Bagi Azrul Akmal Zulkefli pula, keyakinan ketika berada di lapangan adalah penting namun kerja keras perlu seiring dalam mencapai sasaran pingat emas.
“Confident kena ada tetapi jangan terlalu yakin, jadi cuba buat yang terbaik, merendah diri, kalau berasa yakin tetap perlu melakukan kerja yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Riky Mohamad Yasin Pakriudin berkata, pengalaman berada di SUKMA buat pertama kali memberikan keterujaan apabila berjaya menyumbangkan dua pingat emas dan gangsa.

“Saya berasa bangga kerana dapat mengharumkan nama Pahang walaupun hanya gangsa tetapi tetap ok, saya pun utamakan pasukan juga, kalau pasukan dapat nombor satu, bermakna saya pun dapat nombor satu,” katanya.
Kesemua mereka telah dikalungkan pingat oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, pasukan menembak Pahang menghantar seramai 22 atlet.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

