Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 OGOS 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh CP Dato’ Muhammed Hasbullah Ali di atas kejayaan menumpaskan kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen khususnya di kawasan Salong, Pekan dan Bukim Ibam, Muadzam Shah.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menegaskan agar siasatan terhadap kes tersebut dibuat secara telus dan tanpa kompromi dengan mana-mana pihak serta menzahirkan sokongan penuh agar pihak PDRM mempergiatkan dan meneruskan lagi operasi-operasi membanteras aktiviti haram di Negeri Pahang ini.
“Baginda turut bertitah agar agensi penguatkuasaan yang lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan secara berterusan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi membendung kegiatan jenayah alam sekitar ini.
“Baginda juga bertitah semua pihak perlu menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar menjaga khazanah berharga seperti flora dan fauna serta sumber air di Negeri Pahang,” ujar kenyataan media berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut bertitah agar semua pihak perlu menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang untuk menjaga alam sekitar.-PAHANGMEDIA

