Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 9 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan bayaran kepada 1,132 penerima Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) Fasa 3 selewatnya pada pertengahan bulan ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, usahawan yang menepati kriteria yang telah ditetapkan akan menerima kelulusan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM10,495,300.
“Pembiayaan pinjaman ini akan disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dan semua urusan penyaluran dana dijangka akan selesai selewat-lewatnya pertengahan Ogos 2024.
“Dalam pada itu, tindakan pemantauan termasuk lawatan dan semakan di lapangan untuk menilai keberkesanan inisiatif serta mengenal pasti potensi usahawan juga akan mula dilaksanakan sebagai tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan perkembangan usahawan dan perniagaan di seluruh Pahang.
“Saya berharap golongan usahawan dapat menggunakan insentif pembiayaan tanpa faedah yang disediakan ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk dan perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Kenyataan media berkenaan juga menyatakan dua fasa pelaksanaan I-PUSH telah selesai ditawarkan kepada pemohon pembiayaan ini yang memberi manfaat kepada 2,293 usahawan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM20,532,000.
“Untuk pelaksanaan Fasa 1, seramai 804 usahawan telah mendapat kelulusan pembiayaan berjumlah RM6,836,500 dan 1,489 orang usahawan telah mendapat kelulusan pembiayaan melalui Fasa 2 I-PUSH
berjumlah RM13,695,500.
“Melihat kepada keperluan untuk meningkatkan kapasiti usahawan, inisiatif I-PUSH ini diteruskan pelaksanaannya untuk Fasa 3.
“Sebanyak 1,988 telah diterima dan proses saringan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan I-PUSH memberi kesan positif kepada usahawan yang seterusnya diterjemahkan kepada perkembangan ekonomi Negeri Pahang yang lebih pesat,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan I-PUSH yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 sebagai usaha berterusan untuk memberi peluang kepada usahawan mikro mengembangkan perusahaan dan seterusnya mendapatkan peluang-peluang perniagaan mereka di pasaran yang lebih baik.-PAHANGMEDIA

