Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 9 OGOS 2024 : Statistik terbaharu menunjukkan sebanyak 49.5 peratus daripada jumlah penduduk Pahang ialah wanita namun jurang dan cabaran dalam sektor teknologi tinggi dan kepimpinan masih besar.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Negeri terus komited menangani pelbagai isu berkaitan wanita dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif agar dapat memastikan hak dan peluang wanita terpelihara dan diperluas.
“Kita mencari wanita untuk menjadi pemimpin wanita di masa hadapan, dengan adanya program hari ini kita melatih wanita-wanita ini menjadi pemimpin, di mana (peserta) yang hadir pada hari ini memang pemimpin sedia ada untuk mempertingkatkan lagi dan kemungkinan kita akan bawa pemimpin-pemimpin baru ini ke bawah untuk memberi kepimpinan kepada yang lain (wanita) juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kursus Kempimpinan Wanita Berinovasi (WANLeads) di Auditorium Kampus Utama, UCYP University, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Naib Canselor UCYP University, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia, Profesor Madya Dr. Syarifah Shahirah Sy Sheikh, Timbalan Presiden National Council Of Women’s Organisation Malaysia, Dato’ Sri Maznah Mazlan dan Pegawai Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Puan Mazlina Mohamad Lazim.
Kursus yang berlangsung itu disertai 40 wanita dalam membimbing dan membentuk semangat kepimpinan di kalangan peserta demi pembangunan Negeri Pahang pada masa hadapan. – PAHANGMEDIA

