Oleh : Fansurina Abdullah
BERA, 8 OGOS 2024 : Daerah Bera berjaya mencatatkan kutipan hasil tanah sebanyak RM39.42 juta sehingga 7 Ogos lalu berbanding RM34 juta sasaran yang ditetapkan bagi daerah itu.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, ini berikutan usaha Kerajaan Pahang menganjurkan Karnival Tanah di setiap daerah berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri melebihi sasaran termasuklah Daerah Bera.
“Kutipan melebihi sasaran, kalau ikut sasaran kita (daerah Bera) sehingga bulan Julai RM34 juta untuk tahun ini, kita mencapai hampir RM40 juta untuk bulan Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Tanah Peringkat Daerah Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, Bera, hari ini.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Jelasnya, hal ini juga ekoran peningkatan tahap kesedaran pemilik tanah dan promosi berterusan yang dilakukan Kerajaan Negeri membantu peningkatan kutipan hasil tanah di daerah itu.
Selain itu, inisiatif Kerajaan Negeri yang melanjutkan tempoh insentif pengecualian denda lewat pada Mei sehingga November turut menggalakkan pemilik tanah untuk membayar cukai dalam tempoh yang diberikan.
Pada tahun 2023, Bera berjaya mencapai kutipan RM49.64 juta hasil tanah keseluruhan berbanding RM33.8 juta (146.83 peratus) daripada sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Pencapaian ini sangat membanggakan dan patut diberikan penghargaan. Hal ini menunjukkan komitmen seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera dalam memastikan sasaran kutipan hasil tercapai,” katanya.
Pada Karnival Tanah itu turut diadakan reruai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah juga diadakan termasuk belon panas yang julung kalinya dianjurkan sekaligus menjadi tarikan pengunjung karnival.
Turut diperkenalkan logo karnival bagi daerah itu yang diharapkan dapat mendekatkan lagi jenama program itu kepada masyarakat di Bera.-PAHANGMEDIA

