Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 7 OGOS 2024 : Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang terletak di KotaSAS merupakan lambang manifestasi Kerajaan Pahang dalam memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada dalam keadaan berstruktur dan teratur sekaligus dapat memberi impak dan kesan yang meyakinkan kepada pihak luar khususnya para pelabur.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, imej yang ditonjolkan menggambarkan kebanggaan kerajaan terhadap kemakmuran Negeri Pahang selain lokasinya yang strategik memberikan kelebihan kepada pihak luar yang ingin berurusan dengan Kerajaan Negeri.
“Dengan adanya pusat pentadbiran baru ini, sudah tentu memberi imej kepada Kerajaan Negeri bahawasanya orang di luar sana, pelabur-pelabur, ketua-ketua kerajaan akan lebih berkeyakinan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang serius dalam mentadbir negeri, mempunyai pusat pentadbiran yang teratur, struktur kerajaan yang tersusun rapi dan mempunyai ruang kepada orang ramai untuk rasa lebih dekat dengan kerajaan,” katanya.

Bagi Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal pula berpendapat, berada di PPSAS dengan persekitaran yang baru perlu seiring dengan semangat dan motivasi baru demi memastikan sokongan terhadap Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam mempertingkatkan kesungguhan untuk berbakti kepada rakyat.
“Kita kena cari motivasi baru, semangat baru untuk pastikan khidmat bakti kita sentiasa diterima oleh rakyat, jadi awal-awal pagi ini, pertama kali saya masuk ke bilik saya yang baru ini, nampak aura baru dia, saya sendiri kena tingkatkan semangat, iltizam dan kesungguhan untuk bantu YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan Kerajaan Negeri ini dapat menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawabnya dengan baik demi manfaat rakyat Negeri Pahang keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man pula menyifatkan rekabentuk PPSAS yang diinspirasikan daripada Jata Kerajaan Pahang memberikan aura semangat perjuangan untuk terus menabur jasa dan bakti kepada negeri ini khususnya rakyat Pahang.
“Berada di PPSAS saya nampak senibina sangat unik dengan jata Kerajaan Negeri Pahang dan ianya memberikan aura dan semangat kepada kita untuk terus berkhidmat kepada Kerajaan Pahang,” katanya.
Pendapat sama turut diutarakan oleh Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam yang kelihatan begitu teruja dan bersemangat untuk meningkatkan usaha dan kerja keras dalam mencurah bakti kepada Negeri Pahang khususnya rakyat.
“Ini hari pertama kita masuk pejabat dan rasa teruja dengan persiapan dan juga persekitaran baru, bermaksud semangat kita lagilah baru dan bertambah kuat untuk bekerja, InsyaaAllah dan ini antara salah satu untuk memudahkan masyarakat dan rakyat untuk bertemu dan bermesyuarat di sini, InsyaaAllah akan mendapatkan keberkatan, pejabat baru, kerja dan semangat yang baru,” katanya.
Kesemua barisan Exco Kerajaan Pahang dan teraju kepimpinan utama Negeri Pahang sudah memulakan tugas secara rasmi di PPSAS dengan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah berlangsung pagi tadi yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA

