Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 6 OGOS 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menziarahi keluarga yang terlibat dengan tragedi rumah dirempuh lori treler pada kejadian Sabtu lalu.
Pada kunjungan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada kedua ibu bapa mangsa iaitu Nasruddin Othman, 60 dan Norrulaini Mohd Hassan, 54 menerusi anak sulung mereka Mohd Fakhrul Hafis, 35.
Turut mengiringi baginda ialah Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Datoβ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman dan Pengarah Bomba Pahang, Dato’ Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa.

KDPB Sultan Pahang turut menasihati Mohd Fakhrul agar mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat termasuklah pemandu dan pemilik syarikat lori treler berkenaan.
Selain itu, katanya, Baginda Sultan turut menitahkan agar rumah mereka yang ranap itu dibina semula.
“Tuanku ucap takziah la sebab kemalangan tu memang dasyat la sehingga melibatkan dua nyawa. Tuanku tengok rumah tu dan kata akan cuba baiki apa yang patut la rumah tu,” katanya kepada media ketika ditemui di Pekan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, ditemukan meninggal dunia di dalam biliknya akibat tersepit di bawah kepala lori terbabit.
Manakala Mohd Waldon Faris, 21, pula menghembuskan nafas terakhir ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Menurut Mohd Fakhrul, ibu bapanya kini tinggal di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada rumah yang musnah akibat rempuhan lori itu.
Beliau berharap agar pembahagi jalan yang tinggi dapat dibina di jalan tersebut agar situasi sama tidak berulang pada masa hadapan. – PAHANGMEDIA

