Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 23 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah menyarankan Jabatan Mufti Negeri Pahang bekerjasama dengan Penasihat Undang-undang Negeri Pahang untuk menyediakan kertas pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mufti sekiranya ia diluluskan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kertas pindaan ini akan dibentangkan sekiranya ia telah tidak bertentangan dengan Akta yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita ada menyarankan supaya Jabatan Mufti menyediakan kertas bersama dengan kerjasama dengan Penasihat Undang-undang Negeri.
“Ia (penyediaan kertas) seandainya tidak bertentangan dengan akta persekutuan dan boleh di bentang, dapat perkenan Kebawah Duli Tuanku Sultan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kita akan bentang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Barakah Haji Negeri Pahang dan Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Arena YM Tengku Muda Pahang.
Tambah beliau, pindaan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat adalah suatu tindakan yang rasional untuk mengenalpasti siapa Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Tapi apa yang dikemukakan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia sekarang ini adalah satu benda yang rasional, supaya jangan nanti Ayah Pin pun nanti esok mengaku Ahli Sunnah Wal Jamaah juga. Entah siapa-siapa tepi jalan pun mengaku juga Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kita nak tahu apa garis panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah, siapa orangnya. Jangan orang menggunakan gelaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia boleh mengkafirkan orang, buat benda setidak dia (sesuka hati), tapi gunakan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang suci, yang murni, yang harmoni. Itu sebabnya kita menyokong sebenarnya usaha mufti ini,” katanya.
Namun beliau berkata semua ini tetap bergantung kepada keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu serta barisan kabinet yang diyakini dapat membuat keputusan yang tepat dan rasional.
“Cuma kita tengoklah apa pandangan Mesyuarat Raja-raja, pandangan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong, pandangan kabinet yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri.
“Dan saya yakin mereka sewajarnya membuat keputusan yang tepat dan rasional terutamanya ahli-ahli Dewan Parlimen. Kalau ahli-ahli Dewan Parlimen rasional, mereka akan menerima RUU yang dicadangkan oleh mufti ini,” katanya.
Pada 2 Julai lalu, Rang Undang Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dipinda bagi mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.
RUU berkenaan turut menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf. -PAHANGMEDIA

