Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 23 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan tambahan RM112,500 kepada 150 orang jemaah haji yang baharu menerima sumbangan Barakah Haji Pahang tahun ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukan RM1.5 juta kepada 1,588 jemaah haji tahun ini melalui sumbangan berkenaan sebelum ini.
“Saya mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk penyampaian Barakah Haji yang ada tertunggak.
“Ini berikutan faktor daripada jemaah haji ini mendapat tawaran lewat, dan juga kita (Kerajaan Negeri) tidak mendapat maklumat. Jadi mereka pergi (menunaikan haji) dahulu.

“Mereka dah balik ni kita panggil mereka untuk datang ambil sumbangan ini supaya tidak ada yang tercicir, kita tak nak ada yang tak dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Barakah Haji Negeri Pahang dan Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Arena YM Tengku Muda Pahang.
Turut menerima bantuan adalah dua ADUN dari Parti PAS iaitu ADUN Chenor, YB Tuan Mujibur Rahman Ishak dan ADUN Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim.
Tambah beliau, majlis sumbangan ini turut dimeriahkan dengan karnival asyura yang telah dijalankan secara tahunan sejak 30 tahun lepas.
Barakah Haji Negeri Pahang merupakan sumbangan kewangan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada jemaah haji dari negeri ini sebanyak RM750 seorang tahun ini berbanding RM500 tahun lepas.
Jemaah haji juga turut menerima pek makanan sedia di makan dengan peruntukan sebanyak RM112,000 bagi sumbangan pek makanan yang dikenali sebagai Juadah Makmur Jemaah Haji tahun ini. -PAHANGMEDIA

