Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 JULAI 2024 : Program Youth Empowerment Society (YES) dapat mengasah ilmu dan kemahiran peserta yang terdiri daripada anak-anak muda Pahang bagi membentuk keperibadian pemimpin yang berkarisma dan bertanggungjawab.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pemilihan dan penglibatan peserta bermula dari peringkat daerah, zon dan negeri dengan membentangkan modul-modul yang dirangka khas bagi membina karakter pemimpin di kalangan peserta.
“Kita hendak asah ilmu dan kemahiran anak muda untuk menjadi pemimpin. Jadi melalui program ini kita terapkan ilmu, kemahiran-kemahiran baru, cara mentadbir organisasi, cara menguruskan kewangan organisasi, cara melaksanakan program, kekangan dan cabaran yang wujud agar mereka ini benar-benar faham.
“Bila mereka kembali kepada masyarakat atau kembali ke kawasan setempat atau kembali kepada pertubuhan belia yang mereka wakili, mereka boleh menyumbang untuk kemajuan persatuan belia dan masyarakat atau organisasi yang mereka wakili,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Youth Empowerment Society (YES) yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong di sini, semalam.
Program YES yang berlangsung selama lima hari ini telah disertai seramai 38 belia dari seluruh Pahang selepas melalui tiga peringkat tapisan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Program YES anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang ini diadakan khusus buat anak-anak Pahang bagi membentuk keperibadian pemimpin sebagai pemimpin negeri pada masa akan datang.
“Program ini memang khusus untuk anak-anak Pahang sebab kita hendak lahirkan pemimpin-pemimpin pelapis Pahang, kalau dari negeri lain kita ambil (peserta), dia akan jadi pelapis pemimpin di negeri tersebut, sebab itulah saya syaratkan mesti anak-anak Pahang,” katanya.
Program YES juga turut menyediakan platform dan medium komunikasi di antara peserta dengan pihak JBS bagi mendengar pandangan selain mendampingi anak muda sebelum tindakan wajar dapat dirancang. – PAHANGMEDIA

