Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang akan menyokong usaha penambahbaikan penganjuran Liga Futsal Pahang 2024 yang diadakan di Stadium Tertutup SUKPA buat julung kali pada tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, sokongan ini adalah selaras dalam usaha menggalakkan golongan muda untuk aktif menyertai sukan futsal sebagaimana pasukan Pahang Rangers yang pernah mencetuskan minat terhadap sukan berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pahang akan membantu sehabis baik menyokong usaha memperhebat dan memajukan sukan futsal di negeri ini.
“Dan kita bertuah kerana memiliki Tengku Arif Temenggong yang cukup komited, bersungguh-sungguh dan mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan futsal ini.
“Kerajaan Pahang membantu sehabis baik terutama untuk mencungkil bakat dan potensi sukan futsal di kalangan pelajar-pelajar sekolah iaitu di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Perlawanan Persahabatan di antara pasukan pilihan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan pasukan pilihan YB. Tuan Fadzli sempena Perlawanan Akhir Liga Futsal Pahang 2024 di Stadium Tertutup SUKPA di Kuantan.
Selepas perlawanan persahabatan, YB Tuan Fadzli turut mengiringi Tengku Fahd Mua’adzam untuk menyaksikan perlawanan akhir Liga Futsal Pahang 2024.
Liga futsal kali ini menyaksikan 69 pasukan dari seluruh negara berentap merebut gelaran juara pada kejohanan yang dianjurkan menerusi dua sirkit iaitu di Temerloh dan Kuantan sebelum berentap ke perlawanan akhir.
Menurut YB. Tuan Fadzli, Kerajaan Pahang bersama pihak penganjur akan menyusun penganjuran liga ini dengan lebih kemas pada tahun hadapan.
“Saya difahamkan ada post morterm hendak menilai penganjuran ini dan sudah pasti akan lebih baik dari tahun ini lah,” katanya. – PAHANGMEDIA

