Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 18 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang melahirkan rasa simpati di atas pemergian Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang meninggal dunia kerana disyaki dibunuh.
Wakil Kerajaan Pahang, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Negeri sememangnya merasa simpati di atas kejadian yang menimpa mangsa yang turut mengejutkan satu negara.
“Kami di Negeri Pahang ini turut rasa amat sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku kepada keluarga mangsa.
“Saya juga berkesempatan menyampaikan sumbangan daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada keluarga mangsa, kita berharap mereka tabah hadapi ujian ini dan doakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada pengebumian jenazah Nur Farah Kartini Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis di Kampung Bentan, Pekan.
Turut kelihatan ialah saudara mara termasuklah ahli keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini termasuklah ibu dan abang-abangnya.
Menurut YB. Dato’ Mohamad Nizar, tanah perkuburan Islam Nyiur Manis menjadi lokasi pengebumian Allahyarhamah Nur Farah Kartini kerana faktor jenazah yang uzur serta dapat mempermudahkan urusan pengebumian.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Nyiur Manis pada jam 5 petang selepas dibawa dari Hospital Sungai Buloh, Selangor dan pengebumian selesai kira-kira 5.20 petang.
Kawasan tanah perkuburan dipenuhi kira-kira 400 orang yang hadir untuk menyaksikan sendiri pengebumian Allahyarhamah Nur Farah Kartini.
Urusan jenazah dilakukan sebaik sahaja keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan bahawa mayat terbabit ialah Nur Farah Kartini.
Media sebelum ini melaporkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin lalu.
Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira jam 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. – PAHANGMEDIA