Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
RAUB, 18 JULAI 2024 : Program Sifar Gagal SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan tersebut di sini merupakan salah satu pemerkasaan pelajar di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) 2022-2026.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, program di bawah Kluster Pendidikan DPTWP ini merupakan program berasaskan pendidikan keempat dilaksanakan tahun ini.
“Dan hari ini, ia merupakan program pertama diadakan di Raub, dan keempat dilaksanakan di Pahang di bawah Kluster Pendidikan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang.
“Hari ini kita telah mengadakan sesi libat urus di mana kita telah bersama dengan sepuluh buah Sekolah Menengah di daerah Raub melibatkan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM.
“Kita telah memberikan mereka (pelajar terlibat) motivasi supaya mereka tidak gagal dalam peperiksaan SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sifar Gagal SPM daerah Raub di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS, Kampung Gali Tengah.
Menurut beliau, Kluster Pendidikan ini akan menganjurkan tema yang berbeza di setiap daerah di seluruh Pahang.
“Program ini kita adakan secara berbeza mengikut daerah. Di Raub kita adakan Program Sifar Gagal SPM ini, tapi di tempat lain kita akan buat program yang seakan sama tapi mungkin tajuknya lain.
“Kita juga mungkin melibatkan para pelajar bukan menduduki SPM juga sebagai persiapan mereka di masa akan datang. Tetapi fokus kita adalah pelajar SPM,” katanya. -PAHANGMEDIA