Oleh : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN, 16 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang tidak pernah bersikap ‘tutup mata’ dalam membantu kesusahan mangsa bencana di negeri ini malah sentiasa menyalurkan bantuan bagi mengurangkan beban kepada mangsa yang terlibat.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang sekaligus merangkap Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan termasuk penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) pada hari ini.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada semua mangsa bencana dan kesusahan tuan-tuan dan puan-puan ini tidak pernah ‘dipejam mata’ oleh pihak kerajaan.
“Alhamdulillah hari ini kerajaan menyampaikan bantuan dalam bentuk tunai dan bantuan barangan asas rumah,” katanya dalam majlis berkenaan hari ini.
Seramai 45 ketua keluarga isi rumah mangsa telah menerima Bantuan Wang Ihsan ini berjumlah RM3,500 dan barangan Keperluan Asas rumah seperti toto, dapur gas, periuk nasi dan kipas.
Beliau berkata, bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa. – PAHANGMEDIA