Oleh : Ain Nadhirah Basha & Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JUN 2024 : Pahang menampilkan 50 peratus muka baharu daripada 306 atlet yang bakal menyertai 36 acara sukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata Pahang juga mensasarkan 40 pingat emas pada temasya sukan yang diadakan di Sarawak pada Ogos ini.
“Saya telah menetapkan kedudukan lima terbaik bagi Negeri Pahang kali ini dan saya optimis, sasaran ini mampu dicapai. Saya dah jumpa pengurus dan semua jurulatih sukan-sukan yang dipertandingkan di SUKMA.
“Saya menetapkan sekurang-kurangnya 40 pingat emas perlu diraih oleh kontinjen Pahang untuk membolehkan kita menduduki rangking lima terbaik.
“Daripada 600 atlet yang disenaraikan, ramai juga merupakan atlet baru. Terus terang, semasa tempoh COVID-19, mungkin tidak ada latihan dan sebagainya yang telah sedikit sebanyak mengganggu persiapan kita sehingga ke hari ini, akibatnya, ramai atlet baru diambil, dengan 50 peratus daripada keseluruhan atlet adalah muka baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama sebelas atlet sukan tinju Majlis Sukan Pahang (MSP) hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuantan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang juga Ketua Penyelaras sukan tinju SUKMA 2024, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin.
Beliau dalam masa yang sama turut melihat masih terdapat ruang penambahbaikan terhadap prestasi dan persiapan atlet ke temasya sukan berkenaan.
“Ada sukan yang masih belum capai tahap yang saya nak dan saya dah zahirkan dalam pertemuan saya dengan pengurus dan jurulatih untuk mereka segera lakukan sesuatu dan kita juga minta penyelaras-penyelaras sukan untuk pantau secara dekat.
“Saya belum berpuas hati sebab saya masih belum tengok kesemua sukan tapi saya nampak kesungguhan pegawai-pegawai, jurulatih, serta pengurus.
“Saya tak nak puas hati sekarang, sebab kalau puas hati sekarang, mungkin sasaran itu tak boleh dicapai. Saya nak semua kerja keras, masa ada lagi, macam-macam kita boleh buat lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA