Oleh : Fansurina Abdullah dan Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 JUN 2024 : Pahang secara rasminya melantik YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir sebagai Ketua Kontinjen Pahang ke SUKMA Sarawak 2024.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pemilihan beliau dibuat selepas persetujuan diperoleh menerusi Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Pahang (MSP).

“Saya nak memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Pahang telah sebulat suara bersetuju melantik Dato’ Indera Tun Mubin sebagai Ketua Kontinjen Pahang yang akan menerajui perjuangan skuad Pahang di SUKMA Sarawak nanti.
“Dan pemilihan Dato’ Indera Tun Mubin adalah mengambil kira kepakaran beliau dalam bidang sukan khususnya sebagai Presiden Ragbi Negeri Pahang dan hubungan yang baik beliau dengan atlet-atlet sukan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan atlet bagi sukan futsal di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, petang tadi.

Sehingga hari ini, YB. Tuan Fadzli telah meninjau 19 sukan daripada 36 sukan yang disertai oleh Kontinjen Pahang pada SUKMA nanti.
“Dan ini bermakna bila saya sudah melawat sukan Futsal ini, sebanyak 19 sukan saya dah turun padang meninjau. Dan untuk minggu ini akan ada beberapa sukan lagi, dan akhirnya saya harap saya mampu untuk turun padang meninjau persiapan 36 jenis sukan yang akan kita sertai di SUKMA,” katanya.
Beliau berharap Pahang mampu memperbaiki kedudukan pada SUKMA yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Pahang akan menghantar seramai 603 atlet, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita dengan 50 peratus daripada mereka merupakan atlet baru. -PAHANGMEDIA

