Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mengumumkan senarai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan hari ini.
Lima ADUN lantikan tersebut adalah YH Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri, YH Dato Wong Tat Chee, Encik Haris Salleh Hamzah, Encik Mohd Fadzli Mohd Ramly, dan Encik Rizal Jamin.
YB Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata lantikan lima ADUN ini telah mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan.
“Dan mereka akan memulakan tugas mereka selepas angkat sumpah, kita akan buat pada persidangan akan datang mungkin dalam bulan Ogos.
“Mereka ada hak untuk mengundi, boleh berbahas kerana kita telah luluskan lantikan mereka dalam Rang Undang-undang dalam enakmen pada tahun 2020 yang lalu. Dah lama dah. Lantikan mereka akan membantu Kerajaan Negeri dan mereka akan berkhidmat sehingga penghujung penggal ini,” katanya.
Menurut beliau peranan ADUN lantikan ini juga penting dalam menjawab soalan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Peranan mereka untuk membantu Kerajaan Negeri dan antara lainnya mereka dalam dewan perbahasan, untuk menjawab soalan, untuk berbahas dan sebagainya.
“Untuk mereka pergi memberi penerangan kepada rakyat sebagai ADUN lantikan, jadi mereka mempunyai hak untuk bercakap. Ini antara apa yang perlu dibuat oleh ADUN lantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, lantikan lima ADUN ini dipilih berdasarkan pendidikan, pengalaman, pencapaian, dan komitmen mereka. -PAHANGMEDIA

