Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mengumpul derma tabung Pahang4Palestine sebanyak RM1.575 juta setakat ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pada 20 Mei ini, Kerajaan Negeri Pahang juga akan melancarkan Ops Ihsan ke Gaza bagi penghantaran bantuan dalam bentuk barangan.
“Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, tabung Pahang4Palestine telah kita lancar pada 28 Oktober tahun lalu bagi mengutip derma untuk membantu saudara kita di Gaza yang dibunuh, dizalimi dan ditindas oleh Rejim Israel.
“Setelah hampir tujuh bulan tabung ini dilancarkan, jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan adalah berjumlah RM1.575 juta.
“Dan insya-Allah, pada 20 Mei ini, iaitu Isnin depan, saya akan melancarkan penghantaran bantuan dalam bentuk barangan seperti ubat-ubatan, selimut dan makanan ‘ready to eat’ ke Gaza dengan kerjasama Wisma Putra menerusi program Ops Ihsan,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada para penderma serta memberi jaminan setiap derma yang diterima Kerajaan Pahang akan disalurkan terus kepada penduduk Gaza.
“Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada saudara kita di Gaza menerusi tabung Pahang4Palestine yang diuruskan sendiri oleh Kerajaan Negeri.
“Terima kasih kepada semua penderma atas keprihatinan nasib malang yang menimpa rakyat Gaza dan saya beri jaminan bahawa setiap sen yang telah disumbangkan itu akan disalurkan terus kepada saudara kita di sana.
“Saya menyeru agar kita semua teruskan berdoa agar saudara kita di Gaza terus diberikan kekuatan, kesabaran, kesejahteraan dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA

