Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Seramai 41,522 usahawan di Negeri Pahang telah menerima pembiayaan berjumlah RM727.3 juta daripada Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Nasional (AIM).
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM637.35 juta kutipan yang berjaya dibuat dan beberapa tindakan turut dilaksanakan bagi mengatasi masalah pembayaran yang tertunggak daripada peminjam.
“Beberapa tindakan bagi mengatasi masalah bayaran tertunggak telah pun dilaksanakan dan sedang dilaksanakan seperti berikut pertamanya adalah penjadualan semula akaun tertunggak, meneruskan tindakan undang-undang, menjalinkan kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan akaun bertunggakan akan dimasukkan ke dalam sistem rekod perbankan.
“Kedua-dua agensi juga akan melakukan semakan dengan lebih teliti kepada pemohon baharu, mempergiat kutipan bayaran balik dan menawarkan diskaun untuk bayaran balik secara penuh (lump sum),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB. Rosli Abdul Jabar pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab pertanyaan tambahan daripada ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung tindakan undang-undang kepada peminjam, beliau berkata, Tekun dan AIM akan terlebih dahulu memberikan kaunseling kepada peminjam yang gagal membuat bayaran pada waktu ditetapkan bersama AKPK sebelum melanjutkan kepada tindakan perundangan. – PAHANGMEDIA

