Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantal Timur (ECRL) di negeri ini telah mencapai 58.97 peratus yang melibatkan kerja-kerja struktur utama setakat Februari.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkata ia turut melibatkan penembusan 25 terowong dan 829 rentang bagi pemasangan rasuk telah disiapkan di negeri ini.
“Sehingga bulan Februari 2024, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 62.40 peratus manakala kemajuan kerja pembinaan di Negeri Pahang telah mencapal 58.97 peratus.
“Pada ketika ini, pembinaan projek ECRL melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen, pembinaan terowong dan pemasangan landasan (track laying) sedang giat dilaksanakan di sepanjang jajaran.
“Sejumlah 25 terowong daripada keseluruhan 32 terowong di Negeri Pahang telah ditembusi atau bersamaan dengan 29.35km panjang terowong, manakala bagi struktur jambatan, sejumlah 829 darpada 1282 rentang (span) untuk pemasangan rasuk (beam launching), telah siap dipasang di jajaran utama,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini hampir 40 kilometer (km) landasan ECRL yang bermula Disember tahun lepas telah siap di pasang di jajaran utama di negeri ini.
“Selain itu, kerja pemasangan landasan di Negeri Pahang telah bermula sejak Disember tahun 2023 dan sehingga kini hampir 40 km panjang landasan telah siap dipasang bagi Negeri Pahang di jajaran utama dengan menggunakan track laying machine.
“Jajaran dalam Negeri Pahang merangkumi 258.64 km iaitu jajaran utama sepanjang 237.16 km manakala jajaran spur line adalah sepanjang 21.48 km.
“Kerja-kerja bagi tujuh stesen penumpang Pahang juga sedang giat dilaksanakan manakala bagi jajaran sisihan di Kuantan Port, kerja-kerja tanah dan ceruck jambatan sedang giat dijalankan,” katanya.
Menurut beliau jajaran ECRL yang merangkumi Seksyen A sehingga Seksyen C ini terdiri daripada 20 stesen secara keseluruhannya dengan tujuh daripadanya di Pahang.
“Stesen-stesen yang terdapat di negeri Pahang khususnya adalah stesen Cherating iaitu stesen penumpang, stesen Kuantan Port City yang merupakan stesen penumpang dan kargo, stesen KotaSAS (stesen penumpang).
“Stesen Paya Besar (stesen penumpang dan kargo), stesen Maran (stesen penumpang dan kargo), stesen Temerloh (stesen penumpang dan kargo) dan stesen Bentong (stesen penumpang dan kargo).
“Selain itu, terdapat tiga jajaran sisihan di Negeri Pahang iaitu dua jajaran sisihan berada di daerah Kuantan (Kuantan Port City 1 dan Kuantan Port City 2) yang menghubungkan dengan pelabuhan Kuantan, dan satu jajaran sisihan berada di daerah Temerloh yang berintegrasi dengan jajaran perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mejawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba ketika Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

