Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan memperkenalkan Program Anggun Maju sebagai usaha menambah baik golongan usahawan wanita di negeri ini terutama peserta Anggun Niaga dan Anggun Usaha.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Anggun Maju membabitkan peserta-peserta di kalangan Anggun Niaga dan Anggun Usaha dan juga terbuka kepada usahawan wanita yang bersesuaian dengan mensasarkan 1,000 penyertaan.
“Semua peserta Anggun Niaga dan Anggun Usaha diberikan bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi menambahbaik keperluan perniagaan mereka dan kesinambungan kepada usaha tersebut untuk tahun 2024, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu lagi program yang dinamakan Anggun Maju.
“Anggun Maju ini adalah di mana kedua-dua peserta daripada Anggun Usaha dan Anggun Niaga ini, kita gabungkan untuk menambahbaik perniagaan yang telah mereka jalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, menerusi Anggun Maju peserta akan diberikan latihan yang terbaik agar bagi memajukan lagi perniagaan.
Menurutnya, pada tahun 2022 dan 2023 Kerajaan Pahang telah mengadakan Bantuan Khas Usahawan Kecil Ibu Tunggal (Anggun Niaga) dan Anggun Usaha bagi peniaga kecil di kalangan ibu tunggal bagi memastikan para usahawan kecil dapat memajukan perniagaan dengan lebih sistematik dan teratur. – PAHANGMEDIA

