Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Negeri terus memberi fokus dalam membangun dan memajukan kawasan industri termasuk di daerah Temerloh melalui peruntukan yang disediakan bagi membaikpulih jalan dan kemudahan selain memudah cara urusan-urusan pelaburan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, terdapat empat buah kawasan perindustrian di daerah Temerloh berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Temerloh 2035 (Penggantian) iaitu Taman Perindustrian Temerloh (Mentakab), Taman Perindustrian Songsang, Taman Perindustrian Kampung Sepadan dan Kawasan Perindustrian Seberang Temerloh.
“Fokus pembangunan kawasan perindustrian di Temerloh ke arah Industri Berteknologi Tinggi berasaskan Revolusi Industri 4.0 melibatkan gabungan industri elektronik dan mikroelektronik juga penekanan industri dron teknologi (berasaskan artificial intelegent –AI).
“Usaha turut dilakukan dengan membangunkan Kawasan Perindustrian Perabot Kampung Sempadan, Lanchang bagi penempatan pusat perkhidmatan logistik bersepadu berasaskan pertanian dan perkayuan di peringkat Wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kuala Semantan, Tuan Hassanuddin Salim pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata, pada tahun lalu Malaysia telah merekodkan jumlah pelaburan asing sebanyak RM188.4 bilion berbanding RM 163.3 bilion pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 15.37 peratus.
“Bagi negeri Pahang pula, jumlah pelaburan asing yang telah direkodkan pada tahun 2023 telah meningkat dengan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM887.5 juta berbanding RM31.3 juta pada tahun 2022.
“Jumlah pelaburan dalam bidang Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi tahun 2022 dan 2023 adalah sebanyak RM230.9 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA